PELANCARAN BANTUAN MUSIM TENGKUJUH

Tuaran (12 Disember 2021)  – Seramai 86,323 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Sabah akan diberikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT). YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor sewaktu melancarkan pembayaran BMT tersebut turut memaklumakan bahawa jumlah peruntukan yang telah diperuntukkan adalah berjumlah RM51,793,000.

Jelasnya, para pekebun kecil getah  akan mula menerima pembayaran RM600 seorang yang akan dikreditkan secara langsung ke dalam akaun bank masing-masing bermula 13 Disember 2021. Beliau berharap agar bantuan ini akan dapat meringankan beban para pekebun kecil terutama Ketika berdepan cuaca yang tidak menentu terutamanya setiap hujung tahun.

Sebagai simbolik pelancaran, YAB Haji Hajiji Haji Nor telah menyerahkan bantuan BMT secara tunai kepada 50 orang pekebun kecil dari sekitar daerah Tuaran. Beliau juga turut melancarkan aplikasi semakan yang telah dibangunkan oleh LIGS bagi memudahkan para pekebun kecil menyemak status bantuan BMT mereka atas talian melalui http://bmt.ligs.gov.my

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Ketua II Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Pengerusi LIGS En. Edward Linggu dan Pengurus Besar LIGS En. Sabdil Tanjong.