
PROGRAM RETREAT AHLI LEMBAGA PENGARAH LIGS
KENINGAU – Program Retreat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Ke-249 (Siri 1/2026) telah berlangsung dengan jayanya selama lima hari bermula 18 hingga 22 Mei 2026 bertempat di Sento Hotel, Keningau. Program tersebut menghimpunkan Ahli Lembaga Pengarah LIGS bersama pihak pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan bagi membincangkan hala tuju strategik organisasi, memperkukuhkan tadbir urus serta meninjau sendiri pelaksanaan projek dan operasi LIGS di lapangan. Retreat dimulakan dengan sesi taklimat logistik dan perjalanan program sebelum diteruskan dengan sesi pembentangan oleh bahagian-bahagian utama LIGS. Antara pembentangan yang diadakan termasuk Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kemajuan Pekebun Kecil, Bahagian Skim Penempatan Getah, Bahagian Pembelian Getah serta Bahagian Pemprosesan dan Pemasaran. Sepanjang program berlangsung, Ahli Lembaga Pengarah turut mengadakan beberapa siri lawatan kerja ke kawasan operasi dan pembangunan LIGS di daerah Keningau, Sook, Nabawan dan Tenom. Antara lokasi lawatan ialah Blok Tanam Baru Berkelompok Mangkatadan, Ladang Getah Nabawan, Unit Pembelian Getah Keningau, Unit Semaian Getah Pamalan, Skim Penempatan Getah Lagud Sebrang serta Kilang SMR Tenom. Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada Ahli Lembaga Pengarah mengenai perkembangan semasa industri getah di bawah pengurusan LIGS, selain menilai keberkesanan pelaksanaan program pembangunan pekebun kecil dan pengoperasian sektor pemprosesan getah di lapangan. Kemuncak program ialah Mesyuarat Penuh Ahli Lembaga Pengarah LIGS Ke-249 (Siri 1/2026) yang berlangsung pada 22 Mei 2026. Mesyuarat tersebut menjadi platform penting dalam membincangkan dasar, perancangan strategik dan usaha memperkukuh prestasi organisasi demi memastikan industri getah Sabah terus berkembang secara mampan dan berdaya saing. Penganjuran retreat ini diharap dapat memperkukuhkan jalinan persefahaman antara Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan LIGS dalam memastikan visi dan misi organisasi dapat dilaksanakan dengan lebih efektif demi manfaat pekebun kecil dan pembangunan industri getah negeri Sabah.






