Berita Terkini

Kembali ke Berita
20 Julai 2026

PEMBELIAN GETAH BERJADUAL DI DATARAN PAGALUNGAN DAN KAMPUNG SALUNG

NABAWAN – Program Pembelian Getah Berjadual yang dilaksanakan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di sekitar Dataran Pagalungan, yang terletak kira-kira 101 kilometer atau mengambil masa 1 jam 40 minit perjalanan dari Unit Pembelian Getah Nabawan, terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pekebun kecil. Bagi menjayakan pembelian getah berjadual ini, dua buah kenderaan pacuan empat roda (single cab) bersama empat orang kakitangan LIGS telah ditugaskan bagi memastikan proses pembelian, penimbangan dan pengendalian hasil getah dapat dilaksanakan dengan lancar. Seramai 29 orang pekebun kecil telah menjual hasil getah mereka dengan jumlah kutipan hampir 2,700 kilogram, melibatkan nilai keseluruhan pembelian getah berjumlah RM12,000. Pembelian getah pada hari ini melibatkan pekebun kecil dari beberapa buah kampung sekitar Pagalungan, iaitu Kampung Salung, Kampung Inakaak, Kampung Babalitan, Kampung Sabuayoh dan Kampung Tumalasak. Pekebun kecil dari Kampung Inakaak, Kampung Babalitan, Kampung Sabuayoh dan Kampung Tumalasak masih bergantung kepada pengangkutan bot untuk membawa hasil getah mereka ke lokasi pembelian, manakala Kampung Salung boleh diakses melalui jalan darat. Dalam memastikan keyakinan pekebun kecil sentiasa terpelihara, LIGS mengutamakan ketelusan dalam setiap proses timbangan getah. Semua urusan timbangan dilaksanakan secara terbuka di hadapan pekebun kecil menggunakan peralatan yang diperakui, manakala bacaan berat dipaparkan dengan jelas agar dapat disemak oleh pekebun kecil. Pendekatan ini memastikan setiap urusan pembelian dijalankan secara adil, telus dan berintegriti. Dalam sesi pembelian tersebut, para pekebun kecil turut menyuarakan hasrat agar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dapat mempertimbangkan pembinaan Pusat Pengumpulan Getah atau mewujudkan Unit Pembelian Getah di kawasan Dataran Pagalungan. Cadangan ini diyakini dapat mengurangkan kos pengangkutan serta memudahkan urusan pemasaran hasil getah, khususnya bagi pekebun kecil yang masih perlu menggunakan bot sebelum menghantar hasil getah ke lokasi pembelian. LIGS kekal komited dalam membantu dan memperkasa pekebun kecil dengan memastikan perkhidmatan pembelian getah dapat dilaksanakan secara berterusan, sekaligus meningkatkan pendapatan serta kebajikan pekebun kecil di kawasan pedalaman.