
PROGRAM JERAYAWARA LIGS DAN BUDI AGRI-KOMODITI MADANI
TENOM – Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sekali lagi menganjurkan Program Jerayawara LIGS dan BUDI Agri-Komoditi MADANI bertempat di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, Tenom. Program yang berlangsung sehari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang pekebun kecil getah dari daerah Tenom dan Kemabong. Program ini bertujuan memberikan penerangan serta bimbingan secara langsung kepada para pekebun kecil, khususnya berkaitan proses pendaftaran BUDI Agri-Komoditi MADANI, tatacara permohonan dan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan. BUDI Agri-Komoditi MADANI merupakan antara usaha Kerajaan dalam membantu golongan petani dan pekebun kecil yang terkesan dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Melalui inisiatif ini, penerima yang memenuhi syarat kelayakan berpeluang menerima bantuan tunai sebanyak RM400 sebulan bagi membantu mengurangkan beban kos operasi serta memastikan aktiviti pertanian dan pengeluaran komoditi dapat terus dilaksanakan. Program ini dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Tuan Mohd Suhaimi bin Mohamed Husain selaku pelaksana program. Turut serta dalam menjayakan program tersebut ialah Puan Hajah Mariani Hj. Mahmood, Timbalan Pengurus Besar LIGS. Penglibatan beberapa agensi dalam program ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kelancaran perlaksanaan program pada kali ini. Antaranya ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang turut membuka kaunter pertanyaan berkaitan BUDI Agri-Komoditi MADANI. Program seumpama ini, merupakan usaha berterusan LIGS meningkatkan kualiti peyampaian perkhidmatan kepada para pekebun kecil terutamanya penyaluran maklumat berkaitan bantuan-bantuan yang disediakan oleh LIGS. LIGS sekali lagi menyediakan kaunter pendaftaran BUDI Agri-Komoditi MADANI bagi penduduk Daerah Tenom dan sebanyak 1,818 permohonan telah berjaya didaftarkan dengan jumlah bantuan keseluruhan bernilai RM727,200.00.






