Berita Terkini

Kembali ke Berita
2 Oktober 2026

LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK TANAMAN GETAH OLEH PENGURUS BESAR LIGS DI DAERAH KENINGAU

KENINGAU – Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Tuan Ts. Sabdil bin Tanjong, bersama Timbalan Pengurus Besar, Tuan Alexsius Modiun, hari ini mengadakan lawatan kerja ke tiga projek tanaman getah berkelompok di daerah Keningau iaitu Blok Malaing Karamatoi Ulu, Blok Punggul dan Blok Tataluan Kalampun. Lawatan turut disertai Pegawai Penguasa Daerah Keningau, bersama kakitangan LIGS Keningau. Secara keseluruhannya, ketiga-tiga projek melibatkan kawasan seluas 181.91 hektar dan 69 pekebun kecil, dengan peruntukan kerajaan berjumlah hampir RM3.5 juta bagi tempoh pelaksanaan lima tahun. Ketiga-tiga projek tersebut diusahakan sendiri oleh pekebun kecil yang menyertai projek, termasuk kerja-kerja penanaman, penjagaan dan penyelenggaraan tanaman getah. Dalam lawatan tersebut, Pengurus Besar menyatakan kepuasan terhadap keadaan dan penyelenggaraan projek serta menekankan supaya pegawai di lapangan lebih kerap berdialog dan berjumpa dengan pekebun kecil bagi mengetahui masalah yang dihadapi. Beliau turut menyarankan agar pegawai sentiasa memberikan motivasi, bimbingan dan dorongan kepada pekebun kecil supaya mereka terus bersemangat mengusahakan tanaman getah dan memastikan projek yang dilaksanakan mencapai matlamatnya. Sementara itu, Pegawai Penguasa Unit Kemajuan Pekebun Kecil Keningau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar LIGS atas kesudian meluangkan masa mengadakan lawatan kerja ke daerah Keningau serta turun padang meninjau projek-projek tanaman getah berkelompok. Lawatan kerja tersebut berakhir pada kira-kira jam 4.30 petang.