PROGRAM "BELIEVE IN YOUR DREAM"

KOTA MARUDU: Program "Believe in Your Dream" telah diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Gana Kota Marudu pada 10 Mac 2024. Majlis dianjurkan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan LIGS.

Program ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Hendrus Anding - Pembantu Menteri 1, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah disertai, Datuk Edward Linggu J.P - Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah, Tuan Sabdil Tanjong - Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah Tuan Eswadi Bin Roslan - Presiden Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan LIGS dan Tuan Marshal Anthony@Idham Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu.

Program "Believe In your Dream" merupakan satu program kesedaran dan latihan kepada para ibu bapa bagi memupuk semangat dan mengangkat Pendidikan sebagai satu wadah perubahan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Datuk Hendrus Anding bahawa Program "Believe In Your Dream" ini bukan sekadar program, ia adalah manifestasi dari impian dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah bagi anak-anak kita. Melalui program ini, kita berusaha untuk menanamkan semangat dan motivasi kepada anak-anak Kampung Gana untuk melihat pendidikan sebagai kunci ke arah kejayaan dan pembangunan diri yang lestari.

Disamping itu, Datuk Edward Linggu J.P selaku Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah juga menjelaskan kepentingan pendidikan bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan, tetapi ia merupakan inspirasi yang memberi kekuatan kepada individu untuk mengubah nasib mereka dan komuniti mereka. Di LIGS, kami mengakui betapa pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan yang cerah bagi setiap anak di Kampung Gana. Kenyataan ini juga disokong oleh Tuan Sabdil Tanjong Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah dengan menyeru kepada semua ibu bapa, marilah kita bersama-sama beriltizam, bukan hanya untuk menyaksikan perubahan kepada pendidikan anak-anak KG Gana, tetapi untuk menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut.

YB Pembantu Menteri juga berkesempatan melawat ladang Inisiatif Pendapatan Rakyat (INTAN) dan sangat berpuas hati dengan kejayaan Lembaga Industri Getah Sabah dengan melaksanakan projek berskala besar seperti ini kerana dengan projek ini ia mampu memberikan peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk Kampung Gana.