KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah baharu dalam sektor pertanian dengan penghantaran pertama 15 tan nanas segar MD2 ke luar negeri ini melalui Pelabuhan Sepanggar di sini pada Selasa (25 Feb).
Eksport ini dilaksanakan melalui Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR INTAN) yang dikendalikan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan dihantar kepada syarikat Rompin Integrated Pineapple Industries (ROMPINE).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, dalam ucapannya pada majlis pelancaran di Pelabuhan Sepanggar, menyifatkan kejayaan ini sebagai simbol perubahan dalam landskap pertanian Sabah, terutamanya bagi petani kecil yang berusaha meningkatkan taraf hidup melalui pertanian moden dan bernilai tinggi.
Menurutnya, kerajaan negeri telah mengambil langkah berani untuk mendiversifikasikan sektor pertanian, termasuk memperkenalkan tanaman nanas MD2 sebagai alternatif baharu di bawah kelolaan LIGS.Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, menjelaskan bahawa keputusan menanam nanas MD2 bukan dibuat secara semberono, sebaliknya hasil kajian mendalam mengenai tanaman yang berpotensi memberi pulangan tinggi serta sesuai dengan iklim dan tanah di Sabah.
“Pada tahun 2023, projek ini bermula dengan peruntukan RM11.04 juta daripada Kementerian Ekonomi. Pada tahun 2024, tambahan RM16.58 juta diberikan untuk memperluaskan kawasan ladang, selain RM4 juta diperuntukkan bagi pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pembungkusan Nanas di Kota Marudu,” katanya.Tambahnya, hasil daripada pelaburan ini, Sabah kini mampu mengeksport nanas MD2 ke pasaran lebih luas, sekali gus membuktikan kemampuan negeri itu dalam industri pertanian bernilai tinggi.
Jeffrey turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan LIGS yang selama ini bukan sahaja memajukan sektor getah Sabah, tetapi turut membantu pekebun kecil meningkatkan taraf hidup dan membuka peluang kepada usahawan tani.“Projek seperti ini membuktikan bagaimana LIGS mampu membawa perubahan besar kepada petani kecil dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa LIGS akan terus memperluaskan peranannya dalam industri hiliran berasaskan getah dan kayu getah, sekali gus meningkatkan daya saing Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas sokongan berterusan terhadap projek ini, selain menghargai usaha petani, LIGS, serta syarikat rakan strategik seperti ROMPINE dan Una Crop yang memastikan produk Sabah mendapat akses pasaran lebih baik.
“Kerajaan negeri Sabah akan terus menyokong sektor pertanian berorientasikan pasaran, bukan sahaja untuk menambah pendapatan petani tetapi juga bagi menjamin keterjaminan makanan negeri dan negara,” katanya.Beliau kemudiannya merasmikan majlis pelancaran eksport pertama nanas segar MD2 Sabah, yang dilihat sebagai langkah besar dalam memperkukuh kedudukan negeri itu dalam industri pertanian moden.