LIGS PENERIMA SIJIL PENGURUSAN HUTAN PERTAMA DI MALAYSIA

KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), agensi dibawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah berjaya mendapat Pensijilan Pengurusan Hutan bagi kategori getah daripada Forest Stewardship Council yang pertama di Malaysia.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata Ini merupakan sahutan cabaran dan tanggungjawab sikap peduli terhadap alam sekitar, dan penganugerahan dan pensijilan oleh Majlis Pengawasan Hutan (Forest Stewardship Council-FSC) yang dimulakan di daerah Tuaran adalah merupakan sejarah bagi sektor getah Malaysia.

“Seramai 56 peserta terlibat di ladang LIGS Skim Penempatan Getah Tuaran yang menjadi perintis dan penerima pensijilan yang disampaikan ini,” katanya di majlis Penyampaian Sijil FSC di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, semalam. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata LIGS sedang berusaha meluaskan skop pensijilan ke ladang-ladang lain di beberapa daerah termasuklah daerah Tenom, Keningau dan Sipitang dengan matlamat semakin ramai pekebun kecil dimasukkan ke dalam skim kumpulan FSC.

Menurutnya pematuhan kepada Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) merupakan cabaran global masa kini. “Peraturan dan syarat dikenakan ke atas pemasaran produk seperti getah, sawit, koko dan sebagainya,” katanya. Beliau berkata melalui pengkitirafan dan pensijilan pengurusan ladang yang ketat oleh FSC, ia membuka peluang pasaran baru yang lebih luas dan tidak hanya bergantung kepada yang sedia ada. “Ini adalah satu peluang kepada kita bagi memperluaskan produk komoditi khususnya getah dari Sabah sehingga ke Eropah pada satu hari nanti,” kata Jeffrey.