MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA SAMBUTAN JUBLI INTAN 75 TAHUN LIGS

Majlis Makan Malam sempena Sambutan Jubli Intan penubuhan LIGS ke 75 tahun telah diadakan di Grand Ballroom The Magellan Sutera, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU, 21 Februari 2025 - Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah turut dihadiri YB Senator Datuk Edward Linggu Pengerusi LIGS, Datuk Leonard Stephen Poyong Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah,   Datuk Zul Hadi bin Ahmad Pengarah Bahagian Pertanian Kementerian Ekonomi, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Encik Sabdil bin Tanjong Pengurus Besar LIGS serta Mantan-mantan Pengurus Besar LIGS dan kakitangan LIGS.

Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah menjadi tunjang utama dalam pembangunan sektor getah di negeri Sabah sejak penubuhannya 75 tahun yang lalu. Sejak awal penubuhannya, LIGS telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan penanaman getah, meningkatkan hasil pengeluaran, serta membantu pekebun kecil dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap industri getah di Sabah, LIGS sentiasa komited dalam memperkenalkan teknologi moden dan kaedah pertanian yang lebih efisien. Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, termasuk program bantuan kepada pekebun kecil, serta kerjasama strategik dengan agensi lain bagi  meningkatkan daya saing sektor getah di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sepanjang 75 tahun kewujudannya, LIGS telah menyaksikan pelbagai cabaran dan perubahan dalam industri getah, termasuk turun naik harga pasaran global serta peralihan kepada teknologi hijau dan lestari. Namun, dengan usaha yang berterusan, LIGS berjaya memastikan industri getah Sabah terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

Kini, dengan fokus ke arah kelestarian dan inovasi, LIGS berusaha untuk memperkasa sektor getah Sabah melalui penggunaan teknologi moden, pemerkasaan pekebun kecil, serta meneroka pasaran baharu. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri getah tetapi juga membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Sebagai institusi yang telah bertahan selama 75 tahun, LIGS terus komited dalam memastikan industri getah Sabah kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global. Dengan sokongan kerajaan, pemain industri, dan masyarakat, LIGS akan terus menjadi pemangkin dalam memajukan industri getah negeri Sabah ke tahap yang lebih gemilang.

Majlis tersebut dimulakan dengan persembahan Video Montage memaparkan usaha dan penglibatan LIGS dalam industri getah negeri Sabah sepanjang 75 tahun sejak ditubuhkan, kemudiannya diteruskan dengan ucapan Pengurus Besar merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Sambutan Jubli Intan, Encik Sabdil bin Tanjong. Di dalam ucapannya, beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu jemputan yang hadir kerana menyerikan Majlis  pada malam itu. Menurutnya tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi menghargai sumbangan semua kakitangan LIGS dan mengumpulkan semua warga lama turut menggamit kenangan terindah di antara mereka kerana tanpa sokongan mereka LIGS tidak akan berdiri teguh disepanjang 75 tahun penubuhannya.

Seterusnya Majlis Perasmian disempurnakan dengan gimik perasmian oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan dan sebagai simbolik Majlis Sambutan turut diadakan upacara memotong kek Ulang Tahun Ke-75 dengan kek seberat 75 kg.

Sempena Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun ini, beberapa tokoh dianugerahkan penghargaan  iaitu Anugerah Pembangunan Industri Getah kepada mantan Pengurus Besar LIGS, Encik Zainal Rivai kerana sumbangan beliau dalam industri getah selama 18 tahun menerajui LIGS. Turut diberi anugerah pada malam tersebut beberapa pekebun kecil getah dengan Anugerah Pekebun Kecil Terbaik dengan pencapaian cemerlang dalam penghasilan getah.

Aktiviti pada malam tersebut dihangatkan dengan persembahan live band daripada Juara dan Naib Juara Pertandingan Battle of the Band antara Zon anjuran AJK Wanita Kelab Sukan LIGS  serta diserikan dengan persembahan oleh artis jemputan seperti Marlini, Ricki Mara, Velvet Aduk dan Rich Gimbang daripada Kumpulan Estrange. Turut diadakan cabutan bertuah sebanyak 75 cabutan sebagai tanda penghargaan kepada tetamu bertuah yang hadir dengan 5 hadiah utama iaitu Sony Playstation, Basikal Mountain Bike, Motorsikal, Televisyen 75 inci dan Pakej Percutian.