KOTA KINABALU, 20 Jun 2025 – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, menekankan kepentingan perpaduan dan keterjaminan makanan dalam ucapannya sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat MAFFI 2025.
Acara tersebut, yang bertujuan untuk meraikan Pesta Kaamatan di peringkat kementerian, telah diadakan susulan sambutan peringkat negeri yang dilancarkan pada 1 Mei di Tambunan dan kemuncak di Hongkod Koisaan KDCA Penampang pada 30 dan 31 Mei.
Beliau menekankan signifikan tema tahun ini, “Kaamatan Montok Toinsanan” atau “Kaamatan Untuk Semua”, jelas mencerminkan perpaduan yang telah lama wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Sabah.
Beliau berkata, walaupun Pesta Kaamatan asalnya diraikan oleh masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang melimpah ruah, kini ia disambut oleh semua lapisan masyarakat di Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama, sebagai platform untuk memastikan budaya tradisi diwarisi oleh generasi akan datang.
“Kaamatan bukan sahaja perayaan warisan tetapi juga wadah untuk menyatukan kita semua,” katanya.
Beliau menyeru seluruh warga MAFFI serta jabatan dan agensi di bawahnya untuk mengamalkan nilai-nilai murni, semangat gotong-royong (mogitatabang), saling menghormati dan bertoleransi dalam melaksanakan tugas.
Menurutnya lagi, bagi MAFFI, Pesta Kaamatan melambangkan kepentingan keterjaminan makanan bagi kelangsungan hidup masyarakat.
"Sebagai organisasi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sektor pertanian, perikanan dan ternakan, kita perlu melipat gandakan usaha dalam memastikan keterjaminan dan keselamatan makanan di Sabah sentiasa terpelihara," tegas beliau.
Dalam kesempatan tersebut, Kitingan turut mengucapkan tahniah kepada Datin Dr. Shuhadah Mustapha atas pelantikan beliau sebagai Pengarah Perikanan Sabah yang baharu pada 11 Jun lalu, dan seterusnya telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana yang turut mempengerusikan penganjuran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat MAFFI untuk tahun 2025.
Pelantikan itu dilihat sebagai suntikan semangat baharu dalam usaha memajukan sektor perikanan Sabah dan telah memastikan kejayaan penganjuran sambutan Kaamatan di peringkat kementerian hari ini.