KOTA KINABALU - 16 APRIL 2024
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Lembaga Industri Getah Sabah bersama Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn. Bhd. (Rompine) dan Una Crop Sdn. Bhd telah berlangsung pada pagi ini bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu.
Memorandum pertama adalah dengan Rompin Integrate Pineapple Industries Sdn Bhd, yang akan memastikan semua hasil buah nanas MD2 yang diusahakan akan mempunyai pasaran yang stabil dan sekaligus membantu dalam membina ekosistem industri nanas yang mampan bagi negeri Sabah. Memorandum yang ditandatangani bukan sekadar jalinan kerjasama antara Syarikat ROMPINE dan LIGS malah menjadi simbolik kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dan juga Kerajaan Negeri Sabah.
Memorandum kedua dengan Una Crop Sdn Bhd pula akan memastikan LIGS mempunyai akses kepada benih nanas MD2 berkualiti tinggi serta kepakaran teknikal yang diperlukan untuk memastikan kejayaan program ini dari segi kuantiti dan kualiti hasil.
“Kerjasama dengan dua syarikat yang berpengalaman dan terkemuka dalam bidang masing-masing ini, tidak hanya menunjukkan kepercayaan mereka terhadap Visi LIGS, tetapi juga merupakan langkah besar dalam usaha untuk mengangkat martabat pertanian negeri Sabah di persada dunia” dalam ucapan YB Tuan Peto Galim, Pembantu Menteri I, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang mewakili YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Dalam Majlis tersebut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada LIGS kerana telah diberikan kepercayaan oleh Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR INTAN) melalui penanaman nanas MD2 di Kampung Gana, Kota Marudu seluas 200 ekar dan ini merupakan langkah untuk meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah di daerah tersebut, sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
Program IPR INTAN ini mula dilaksanakan pada tahun 2023 dan pada tahun ini, LIGS berazam untuk melanjutkan kejayaan program ini dengan membangunkan tanah seluas 300 ekar lagi untuk penanaman nanas MD2. Ini adalah bukti komitmen LIGS dalam memastikan program ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai pekebun kecil di masa hadapan. Kebergantungan kepada hasil buah nanas MD2 semata-mata tidak memungkinkan impak yang besar akan dirasai, justeru LIGS kini dalam rangka untuk melebarkan lagi potensi industri nanas untuk menerokai bidang pembungkusan dan pemprosesan nanas MD2.
Memorandum Persefahaman ini telah ditandatangani oleh Tuan Sabdil bin Tanjong, Pengurus Besar LIGS, Dato’ Shahrul Nizam bin Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad merangkap Pengerusi Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd, Tuan Mohamad Hidhir bin Hamin, Pengarah Urusan Una Crop Sdn Bhd dan disaksikan oleh YB Tuan Peto Galim, Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Robert Stidi, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Edward Linggu, Pengerusi LIGS serta Datin Zaeidah Mohamed Esa, Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi.