Berita Terkini

Kembali ke Berita
26 Januari 2026

MAJLIS AMANAT DAN SAMBUTAN TAHUN BAHARU 2026

Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan terus memperkukuh sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai tonggak strategik pembangunan negeri selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, YB Datuk Haji Jamawi bin Jaafar berkata, keutamaan kementerian bagi tahun 2026 adalah memperkukuh keterjaminan makanan negeri dengan meningkatkan tahap sara diri dan mengurangkan kebergantungan kepada import secara berperingkat. Fokus utama akan diberikan kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan, sayur-sayuran serta perikanan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga makanan untuk rakyat Sabah. Seiring dengan itu, usaha pemodenan sektor akan dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi pertanian pintar, mekanisasi dan automasi, serta kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan dan universiti bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor. Dalam aspek pemerkasaan rakyat, MAFFI akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan petani, nelayan dan komuniti luar bandar melalui pengurangan kebergantungan kepada orang tengah, pengoptimuman pusat pengumpulan hasil serta penambahbaikan perkhidmatan pengembangan dan latihan menggunakan pendekatan digital. Antara inisiatif utama kementerian pada tahun ini ialah pelaksanaan Program Jelajah Kebun Dapur di seluruh Sabah yang bertujuan menggalakkan penglibatan isi rumah dalam aktiviti tanaman, ternakan kecil dan perikanan skala kecil. Program ini dijangka dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan sampingan serta memupuk sikap berdikari dalam kalangan masyarakat. Bagi menarik minat generasi muda, MAFFI turut memperkukuh pembangunan agropeneur belia melalui pendekatan Mentor–Mentee, pendedahan kepada teknologi pertanian pintar serta sokongan dari segi latihan, pembiayaan dan akses pasaran. Selain itu, pendigitalan sektor pertanian dan industri makanan akan diperkasakan melalui latihan pemasaran digital, e-dagang dan penjenamaan produk tempatan bagi memperluas capaian pasaran hasil keluaran negeri. YB Datuk Jamawi turut menekankan kepentingan tadbir urus berintegriti, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas serta pendekatan kerja berasaskan hasil bagi memastikan setiap program dan peruntukan memberi impak langsung kepada golongan sasar. MAFFI menerima peruntukan sebanyak RM559.85 juta bagi tahun 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam memacu sektor pertanian, perikanan dan industri makanan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.