
LIGS MENANDATANGANI DUA MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) SECARA SERENTAK
KOTA KINABALU, Dua memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Sabah menerusi projek pembangunan hartanah bercampur di Tuaran dan cadangan pembangunan industri tenusu berskala besar di Keningau. MoU pertama melibatkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan K.T.I. Sdn. Bhd. bagi meneroka cadangan Pembangunan hartanah bercampur seluas 500 ekar di Tuaran yang merangkumi lot kedai, rumah teres, apartmen dan kawasan perindustrian. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, projek itu merupakan antara usaha kerajaan negeri memanfaatkan aset milik agensi di bawah kementerian bagi menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi. MoU kedua pula melibatkan kerjasama antara LIGS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) dan Farm Fresh Berhad bagi meneroka pembangunan ladang tenusu komersial berskala besar menerusi projek Keningau Dairy Valley. Menurut Jamawi, projek itu bakal membawa pelaburan swasta dan kepakaran teknikal untuk memperkukuh industri tenusu tempatan, meningkatkan kadar sara diri pengeluaran susu segar, daging serta produk tenusu, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kepada penternak serta rakyat Sabah. Beliau berkata, walaupun kedua-dua MoU itu masih di peringkat hasrat dan belum menjadi komitmen muktamad, ia merupakan langkah awal yang penting ke arah pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada negeri Sabah.

