Berita Terkini

Kembali ke Berita
24 Ogos 2026

PROGRAM JERAYAWARA LIGS DAN BUDI AGRI-KOMUDITI MADANI

TAMPARULI – Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah melaksanakan Jerayawara LIGS dan BUDI Agri-Komoditi MADANI yang bertempat di Pejabat LIGS Tamparuli. Program pada kali ini mendapat penyertaan seramai 500 orang pekebun kecil getah yang berada di sekitar Tamparuli dan Tuaran. Program ini memberi fokus utama bagi membantu dan membimbing para pekebun kecil getah berkaitan pendaftaran BUDI Agri-Komoditi MADANI serta syarat-syarat kelayakan permohonan. BUDI Agri-Komoditi MADANI ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk menyediakan bantuan tunai RM400 sebulan kepada para petani dan pekebun kecil getah yang layak, bagi membantu meringankan kos operasi susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Ts. Sabdil bin Tanjong, Pengurus Besar LIGS. Turut hadir menjayakan program ialah Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, Pengerusi LIGS; Tuan Peter Denis wakil Kementerian Perladangan dan Komoditi; Puan Noorfaziza binti Wasintu, Sekretariat STR Kementerian Kewangan Malaysia; serta pegawai dsn kakitangan LIGS. Program ini turut mendapat kerjasama dan penyertaan pegawai daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). LIGS telah membuka kaunter pendaftaran bagi Program Agri-Komoditi MADANI dan sepanjang sehari program berlangsung LIGS telah mendaftarkan lebih kurang 400 permohonan dengan jumlah bantuan sebanyak RM 160,000.00 Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menjadi medan bersemuka dan beramah mesra dengan para pekebun kecil malah ia membolehkan para pekebun kecil mendapat akses maklumat berkaitan perkhidmatan dan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan melalui Lembaga Industri Getah Sabah.